GSM Technical talk (in collaboration with the Geology Programme, UKM and the Geophysics Working Group of GSM): “Impak Gempabumi dan Geobencana Susulan Di Palu, Sulawesi - Cerapan Lapangan, Pengajaran dan Peringatan” - Norsyafiqah Salimun (Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia)

Event Code : GSMTT 11-14-2018 Venue Name : Bilik Mesyuarat Program Geologi, Bangunan Geologi, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Host Name : Coordinator Name : Date From : 2018-11-14

The talk will begin at 11am, and refreshments will be provided before the talk at 10:30am.

SINOPSIS

Pada 28 September 2018, berlaku gempabumi cetek bermagnitud 7.5 dengan epicentre kira-kira 10km dari Palu, ibukota Sulawesi. Gegaran gempabumi ini boleh dirasai hingga ke Samarinda, Timur Kalimantan dan juga di Tawau, Sabah. Gempabumi ini telah didahului oleh beberapa siri gempa awalan. Gempa awalan paling besar berukuran 6.1 berlaku lebih awal pada hari yang sama. Gempabumi ini juga diikuti dengan puluhan gempabumi susulan. Geobencana gempabumi disertai dengan geobencana pencecairan (liquefaction) dan tsunami yang telah meragut sekurang-kurangnya 2100 nyawa dan ramai lagi yang masih hilang. Gempabumi dikesan berlaku pada garis sesar Palu-Koro yang diketahui merupakan sebuah sesar gelincir jurus sinistral yang aktif dengan kadar pergerakan sekitar 7cm setahun. Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) Indonesia mengesahkan tsunami yang dicetus oleh gempabumi tersebut mencapai ketinggian maksimum 4-7 meter dan melanda Palu, Donggala dan Mamuju.
Cerapan ringkas mengenai impak geobencana gempabumi dan geobencana susulan telah dilakukan sewaktu misi bantuan kemanusiaan dibawah Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) pada 8 hingga 12 Oktober 2018. Lebih 70,000 rumah rosak. Ini termasuklah bangunan-bangunan penting seperti Hospital, pusat beli belah, hotel, sekolah dan masjid. Lapangan Terbang (Bandar Udara Mutiara SIS AlJufrie) terpaksa ditutup kerana terbentuk rekahan sepanjang lebih 500m dan menara kawalannya juga runtuh. Jambatan Kuning Ponulele yang menjadi ikon Palu turut runtuh dan dihanyutkan tsunami. Banyak jalanraya penting rosak dan geobencana tanah runtuh juga dilaporkan di banyak tempat. Likuifaksi tanah paling teruk berlaku di Kabupaten Sigi yang terletak di selatan Palu. Geobencana ini telah melenyapkan hampir keseluruhan perkampungan Petobo dan Balaroa yang terbenam ke dalam lumpur. Data terkini menunjukkan kira-kira 2245 orang mati, 4488 cedera dan 1076 masih hilang. Geobencana gempabumi, likuefaksi dan tsunami Palu merupakan geobencana paling dahsyat setakat ini untuk tahun 2018. Banyak pengajaran yang perlu dipelajari dan peringatan yang perlu diambil daripada peristiwa geobencana ini. Antaranya ialah sesar gelincir jurus dan gempabumi yang berpusat di daratan juga mampu mencetuskan tsunami. Geobencana liquefaksi berskala besar bukan sahaja meruntuhkan bangunan, malah boleh menenggelamkan keseluruhan perkampungan dan ratusan rumah dalam sekelip mata hingga penduduknya tidak sempat menyelamatkan diri dan turut tenggelam bersama.