Bulletin of the Geological Society of Malaysia, Volume 40, July 1997, pp. 13 – 19
Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia, Peti Surat 560, 93712 Kuching, Sarawak
Abstrak: Beberapa aspek struktur yang penting di Lembah Lupar adalah menarik dan mempunyai pertentangan pendapat dengan kajian terkini. Keasalan dan jenis struktur yang ketara di Lembah Lupar seperti Garis Lupar adalah masih dipertikaikan oleh banyak pengkaji. Kertas ini akan menerangkan beberapa tafsiran di mana faktor-faktor tektonik dan graviti boleh digunakan bagi menerangkan struktur yang unik di kawasan ini. Hasil daripada kajian geologi struktur secara rantau dan tempatan di Lembah Lupar, terdapat sekurang-kurangnya 3 episod deformasi yang utama bertindak di sini. Deformasi terawal menyebabkan batuan sedimen di dalam Ahli Layar mengalami metamorfisme rantau dan terangkat. Daya mampatan utama ini berarah Utara-Timurlaut hingga Selatan-Baratdaya yang ditafsirkan berlaku semasa Kapur Lewat dan berterusan dari Paleosen hingga Eosen Bawah. Sejarah deformasi kedua adalah bertanggungjawab ke atas pembentukkan lipatan yang tertunjam di mana arah daya bertindak sekitar Timurlaut-Baratdaya. Deformasi terakhir yang mana menyebabkan Ahli Basal Sandstone tersungkup ke arah timurlaut dan yang menyebabkan lapisan sedimen di kawasan kajian terbalik. Ianya ditafsirkan berlaku semasa Miosen Awal. Secara am, struktur yang kompleks bertambah semakin ke utara kawasan kajian. Sungguhpun terdapat interpretasi yang telah digunakan bagi menerangkan struktur di kawasan ini, sekurang-kurangnya kertas ini memberikan suatu idea mengenai struktur yang unik di sini.
https://doi.org/10.7186/bgsm40199702